Nuffnang

Thursday, November 11, 2010

Tak semua perniagaan jualan langsung bawa masalah: Awang Adek


KUALA LUMPUR: Bukan semua perniagaan jualan langsung (MLM) tidak baik dan memberi masalah kepada orang ramai, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein.
Katanya, terdapat perniagaan seumpama itu yang memberi kebaikan kepada pengguna terutamanya daripada segi penjimatan kos. "Perniagaan Amway umpamanya begitu berleluasa dan tiada masalah. Ramai juga yang menggunakan perkhidmatan dan barangan yang dijual dalam MLM," katanya semasa menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) di Dewan Rakyat hari ini.

Awang Adek berkata, tidak semestinya jika kadar dalam MLM di sesebuah negara itu tinggi, maka ia sesuatu yang negatif. Menurutnya, kawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan adalah bagi memastikan tidak berlaku penipuan dalam MLM, manakala Bank Negara pula mengawasi perbuatan pengambilan deposit haram dan perdagangan mata wang asing tanpa lesen. "Suruhanjaya Sekuriti menguruskan pengambilan dana tanpa lesen; Suruhanjaya Syarikat Malaysia (skim berkepentingan yang haram) dan Polis Diraja Malaysia menguruskan kes skim penipuan melalui Internet," kata Awang Adek. Menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Mutallib (BN-Maran), beliau berkata antara langkah menangani gejala itu ialah penyediaan teks khutbah Jumaat berkaitan gejala skim cepat kaya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta mewujudkan Laman Informasi Khidmat dan Nasihat (LINK) dan TeleLink.


PETIKAN  :HARIAN METRO 
Related Posts with Thumbnails
Visit Website Here